fbpx

Orang mengamuk ada masalah IED

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IED menyebabkan penghidapnya menjadi agresif dan ganas tanpa sebab. - Gambar hiasan
LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

Insiden seorang pengawal keselamatan maut ditetak oleh seorang lelaki di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini benar-benar menyayat hati.

Semuanya bermula apabila mangsa, Allahyarham Ismail Ahmad, 58, menegur, R. Subramaniam, 41, kerana menunggang motosikal secara berbahaya di sebuah tapak projek.

Tidak puas hati dengan teguran itu, Subramaniam yang meninggalkan lokasi dia ditegur kembali semula ke sana bersama dua lelaki dan menyerang Allahyarham menggunakan parang.

Ismail akhirnya meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim pada Ahad lalu setelah menerima rawatan di sana sejak diserang pada 4 Ogos.

Bagaimanapun, kes tersebut bukanlah asing di negara ini ke­rana insiden serupa telah dilaporkan secara berkala oleh media-media tempatan.

Jika tidak melibatkan kematian sekali pun, ia menyebabkan individu yang menegur dipukul oleh golongan ditegur. Itulah yang berlaku di Pulau Pinang bulan lalu apabila seorang lelaki dipukul setelah menegur seorang remaja membuang air kecil di tempat tidak sepatutnya.

Itu tidak termasuk puluhan lagi laporan isteri dipukul kerana menegur suami atau sebaliknya, adik-beradik saling berbunuhan selain ibu bapa dibelasah anak kandung di rumah mereka sendiri. Begitu banyak kes sedemikian dilaporkan di dada akhbar.

Menurut satu laporan di laman web perubatan, webmd.com, salah satu faktor yang mendorong tindakan luar kawalan diambil oleh seseorang adalah akibat masalah kemarahan membuak secara tidak berkala (IED).

Jelasnya, ia merupakan sejenis penyakit mental yang menyebabkan individu terbabit hilang kawalan akibat perasaan marah membuak-buak sehingga mereka tidak dapat mengawal diri.

“Penyakit mental ini biasanya bermula sejak mereka kecil sehinggalah dewasa. Kebanyakan penghidapnya akan terus me­ngalaminya sehinggalah hari tua mereka,” katanya.

Menurutnya, IED menyebabkan penghidapnya menjadi agresif dan ganas tanpa sebab yang munasabah, sehingga mereka mengambil tindakan seperti memaki-hamun, memukul dan marah secara keterlaluan.

Sementara itu, pakar psikologi dan kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, tingkah laku agresif juga dialami oleh orang biasa, namun ia tidaklah sehingga menyebabkan mereka membunuh.

“Jika mereka mengambil tindakan seperti membunuh dan menyebabkan kemudaratan, berkemungkinan ia berpunca daripada ketidakseimbangan kimia di dalam otak,” katanya.

Selain itu, ujarnya, tingkah laku agresif juga mungkin berpunca daripada cara mereka dibesarkan iaitu secara manja atau dibiarkan oleh ibu bapa serta trauma dialami ketika kecil, selain pergaulan dengan kumpulan-kumpulan tertentu.

“Jika itu bukan puncanya, ia juga boleh berpunca daripada pengambilan dadah seperti sya­bu atau meminum minuman keras. Ia menyebabkan mereka mengalami halusinasi, seterus­nya menyebabkan tindakan luar kawalan diambil,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI