WOKING – Pelumba pasukan McLaren, Daniel Ricciardo dilaporkan meminta pasukan itu membayar pampasan cukup tinggi sekiranya mereka berkeras untuk menggantikannya dengan pemandu lain musim depan.
Sebelum ini timbul desas-desus yang mengatakan McLaren sedia untuk membawa masuk juara Formula 2, Oscar Piastri selepas pelumba muda itu menolak pelawaan Alpine bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Fernando Alonso.
Bagaimanapun, berdasarkan perjanjian sedia ada, Ricciardo sepatutnya akan terus bersama McLaren sekurang-kurangnya semusim lagi atau dia diberikan pampasan lumayan untuk meninggalkan pasukan tersebut.
Memandangkan dia masih memiliki kontrak bersama McLaren, pemandu kelahiran Australia itu dikatakan meminta pasukan tersebut membayar pampasan penamatan kontraknya berjumlah lebih £12 juta (RM64.58 juta) jika mahu dia ‘angkat kaki’ meninggalkan pasukan itu.
Meskipun McLaren dikatakan berhasrat untuk menyingkirnya dari pasukan, namun ia bukan masalah besar buat Ricciardo memandangkan sudah ada beberapa pasukan termasuk Alpine yang sedia menawarkan tempat buatnya bagi saingan musim depan.
Prinsipal pasukan Alpine, Otmar Szafnauer mengakui beliau tidak ada sebarang masalah untuk membawa pulang Ricciardo ke pasukan itu, sama seperti yang mereka lakukan dengan Alonso sebelum ini.
“Anda boleh lihat apa yang berlaku dengan Fernando (Alonso), dia datang dan pergi. Perkara sama boleh berlaku terhadap pemandu lain, jadi saya tidak lihat ia sebagai masalah besar untuk kami jika perkara itu berlaku,” katanya.– AGENSI