MANCHESTER – Legenda Manchester United, Paul Scholes menganggap penyerang Manchester City, Erling Haaland adalah jelmaan baharu kepada bekas penggempur utama The Red Devils, Ruud Van Nistelrooy.
Haaland meledak dua gol ketika membantu City menang 2-0 ke atas West Ham United sekaligus mengulangi apa yang pernah dilakukan Van Nistelrooy ketika melakukan debut di Liga Perdana Inggeris pada 2001.
Disebabkan faktor itu, Scholes mendapati kedua-dua penyerang itu memiliki persamaan iaitu memiliki sentuhan penyudah yang begitu tajam setiap kali diberikan ruang.
“Dia (Haaland) pemain muda dan memiliki keyakinan, dia mengingatkan saya kepada Ruud Van Nistelrooy. Apabila dia berjaya melepasi kawalan, sudah pasti penjaga gol berdepan kesukaran dan dia akan menjaringkan gol.
“Saya fikir ia mungkin akan mengambil sedikit masa, namun saya silap, Haaland mengharungi debut yang sempurna. Dia memiliki kualiti gerakan dan sentuhan penyudah yang cukup baik,” katanya.
Sekalipun agak tenggelam ketika aksi Perisai Komuniti, Scholes mendapati Haaland pantas melupakan detik kecewa itu dan aksinya mendapat pujian daripada pengendali City, Pep Guardiola.
“Saya tahu bagaimana dia berdepan kritikan, namun dia kekal tenang dan terus berlatih. Segalanya akan berkisar tentang keyakinan, cita-cita dan mentaliti,” kata Guardiola.
Haaland yang mencecah 22 tahun bulan lalu sudah pun mengumpul lebih 100 gol bersama kelab diwakilinya dan peluang yang diraihnya ketika ini membuka peluang buat penyerang Norway itu menyamai rekod 95 gol Van Nistelrooy dalam aksi Liga Perdana Inggeris. – AGENSI