fbpx

Digitalisasi, teknologi terkini ubah persepsi belia terhadap pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi ketika berucap pada Wacana Eksplorasi Dunia Pertanian di Dewan D sempena MAHA 2022, hari ini. /FOTO FARIZ RUSADIO

SERDANG – Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan bahawa pendekatan digitalisasi dan teknologi baharu di Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional (KV) dapat merubah persepsi belia terhadap industri pertanian.

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, KPM sentiasa berusaha memastikan kursus-kursus berkaitan pertanian di SMT dan KV menggunakan pendekatan terkini dari segi kaedah, mesin dan jentera.

Menurutnya, usaha terbabit dapat menjadikan pelajar lebih bersedia untuk bersaing di luar dengan asas teknologi-teknologi baru dalam bidang pertanian.

“Apabila saya mula masuk KPM, Kita lihat kebanyakan kolej vokasional dan sekolah berkaitan pertanian ini masih menggunakan pendekatan tradisional atau konvesional.

“Sebab itu, kita telah mula tingkatkan penggunaan teknologi digital bagi memberi pendedahan kepada generasi muda sekali gus merubah persepsi mereka terhadap industri pertanian,” katanya pada sesi Wacana yang bertajuk Eksplorasi Dunia Pertanian sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Turut hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee serta lebih 800 pelajar sekolah SMT dan KV dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Radzi berkata, usaha berterusan akan terus dilaksanakan di SMT dan KV bagi mematikan generasi muda mendapat gambaran yang jelas tentang industri pertanian.

“Kita akan dedahkan mereka mengenai bidang ini yang mana berpotensi untuk menjana pendapatan sama ada dalam sudut keusahawanan dan pekerjaan kerana peluang dalam pertanian adalah amat besar,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pendekatan sama juga sedang diusahakan dalam kalangan guru-guru meliputi kaedah pengajaran dengan pembentukan modul-modul baharu bagi melahirkan generasi yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan tinggi dalam industri pertanian moden.

Sementara itu, Ronald berkata, setakat semalam, lebih 800,000 jumlah pengunjung direkodkan sempena MAHA 2022 dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM163 juta.

“Bagi tempoh yang sama, sebanyak 26 memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan nilai melebihi RM5 bilion ringgit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI