JERANTUT – Sepasang suami isteri telah berhabis sehingga RM25,000 demi menguruskan anak lelaki mereka yang terlantar akibat kemalangan sejak dua tahun lalu dan kini buntu untuk mencari wang bagi menampung perbelanjaan yang kian mendesak.
Yussery Ismail, 52, dan Rozita Hamzah, 49, di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, bergilir-gilir menjaga anak mereka, Muhammad Yusshah Danish, 19, yang koma selepas terlibat kemalangan pada 1 Jun 2020.
Menurut Rozita, sejak itu, dia dan suami bergilir-gilir menjaga anaknya di rumah serta berulang alik membawanya ke hospital untuk rawatan termasuk menyediakan makanan dan pengurusan diri.
“Dia merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan telah terlibat dalam kemalangan di laluan Felda Kota Gelanggi Dua ke Felda Tekam Utara dekat sini hingga mengakibatkan cedera parah dan koma di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.
“Dia masih koma dan tidak bergerak langsung sehingga hari ini akibat kecederaan teruk pada bahagian dalam kepala dan kami amat sedih,” katanya ketika ditemui.
Menurut Rozita, pada peringkat awal, doktor cuma merawat anggota bahu, leher, tangan dan jari yang patah sehingga pulih, namun bahagian otak tidak berubah menyebabkan anaknya terlantar.
Tambahnya, dia perlu membawa anaknya ke hospital dua bulan sekali untuk rawatan susulan dan terpaksa bergilir-gilir dengan suaminya untuk menjaga Muhammad Yusshah Danish.
“Kami menyediakan khidmat dandanan dan solekan termasuk sewaan peralatan majlis perkahwinan yang menjadi sumber pendapatan,” katanya yang masih kekurangan pelanggan kerana persaingan.
Ujar Rozita, dia telah berhabis hampir RM25,000 untuk rawatan anak mereka itu termasuk menggunakan modal perniagaan untuk membeli susu khas, lampin pakai buang dan menyewa ambulans swasta ke hospital sejauh 75 kilometer.
“Dia cuma boleh minum susu khas yang setiap satu tin cukup untuk dua hari sahaja dan kosnya agak mahal iaitu lebih RM2,000,” katanya.
Rozita tidak tahu bila anaknya akan sedar dan berharap ada keajaiban buat mereka sekeluarga. Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Yussery di talian 014-532 1433 atau Rozita (018-910 3179) atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat Muhammad Yusshah bernombor 220304322791.