fbpx

Aktres Iraq saman akhbar guna gambar artikel wanita gemuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang diguna The Economist yang mewakili artikel mengenai wanita Arab lebih gemuk daripada lelaki. - Getty Images

BAGHDAD – Seorang pelakon wanita Iraq menyaman akhbar The Economist yang beribu pejabat di London kerana menggunakan gambarnya dalam satu artikel yang mendakwa bahawa wanita Arab adalah lebih gemuk berbanding kaum lelakinya, lapor Badan Penyiaran Britain semalam.

Enas Taleb berkata, imej itu digunakan di luar konteks dan tanpa kebenaran, malah melanggar privasinya. Dia mendakwa bahawa gambarnya  telah disunting menggunakan teknik ‘photoshop’.

Pelakon dan pengacara program bual bicara popular itu memberitahu,  dia telah memulakan tindakan undang-undang di Britain.

Setakat ini, akhbar The Economist belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dakwaan Enas.

Artikel bertajuk Why Women Are Fatter Than Men in the Arab World itu diterbitkan akhir Julai 2022. Ia  menggunakan gambar Enas yang dirakam  sembilan bulan lalu pada Pesta Antarabangsa Babylon di Iraq.

Menurut artikel berkenaan,  kemiskinan dan sentimen masyarakat bahawa peranan wanita terhad kepada suri rumah tangga menjadi antara punca mengapa lebih ramai wanita Arab mengalami berat badan berlebihan berbanding lelakinya.

Artikel sama menyatakan, lelaki Arab juga meminati wanita  berisi seperti  Enas dan menganggap bentuk  tubuh sedemikian sebagai kecantikan yang  ideal.

Enas bagaimanapun melabelkan artikel itu sebagai penghinaan terhadap wanita Arab secara amnya dan wanita Iraq khususnya.

Dia turut melontarkan persoalan mengapa akhbar itu menaruh minat kepada wanita gemuk di dunia Arab dan bukan di Eropah atau Amerika Syarikat.

Bercakap kepada  stesen televisyen al-Arabiya, Enas turut berkata, dia pernah berdepan serangan buli siber di media sosial.

Dia juga memberitahu majalah New Lines bahawa dia sihat dan gembira dengan penampilannya serta tidak memerlukan mana-mana pihak sebagai ‘pengadil’.

“Saya sihat dan gembira dengan diri saya sekarang, itu sahaja yang penting.

“The Economist memulakan ‘perang’ dengan orang yang salah kerana saya tidak akan berdiam diri,” tegas Enas. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI