KUALA NERANG – Hasrat seorang gadis untuk mendirikan rumah tangga pada bulan depan tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat masalah organ dalaman di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar semalam.
Siti Nabilah Rosidi, 22, dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang di sini sebelum dirujuk ke HSB kerana mengalami kekejangan pada pukul 8 pagi.
Menurut tunang Siti Nabilah, Mohammad Amirul Murad, 28, dia terkejut apabila dimaklumkan pasangannya tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di HSB pada pukul 9.15 malam.
“Saya bagaikan tidak percaya kerana kami sedang menghitung hari untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri, malah sebelum ini arwah tidak pernah memaklumkan dia menghidap sebarang penyakit.
“Arwah tunang juga kelihatan ceria seperti biasa apatah lagi tarikh perkahwinan kami semakin hampir iaitu pada 17 September ini,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga arwah Siti Nabilah di sini hari ini.
Menurut pemuda itu, dia dan arwah tunangnya dipertemukan oleh ahli keluarga sebelum bersetuju untuk mendirikan rumah tangga.
“Semua persiapan untuk majlis kenduri sudah dilakukan. Kami bercadang untuk berbulan madu di Langkawi, namun semuanya tidak kesampaian apabila tunang pergi buat selama-lamanya,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.
Sementara itu, bapa arwah Siti Nabilah, Rosidi Abdullah, 51, memberitahu, anak ketiga daripada lima beradik yang merupakan pekerja am di syarikat swasta itu mengadu sakit kepala dan leher sejak Isnin lalu selepas pulang dari kerja.
“Kami dimaklumkan seluruh hati, otak dan buah pinggangnya sudah rosak. Sehingga kini kami masih tertanya-tanya penyakit yang dihadapinya.
“Kematian Siti Nabilah amat mengejutkan seluruh ahli keluarga kami,” ujarnya.
Jenazah Siti Nabilah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baharu, Padang Sanai di sini pada pukul 11 pagi hari ini. – KOSMO! ONLINE.