fbpx

Serbuan ‘private party’, 84 warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian warga asing ditahan JIM dalam operasi di sebuah ‘private party’ di ibu negara 6 Ogos lalu

PUTRAJAYA- Seramai 84 orang warga asing berumur antara 20 hingga 50 tahun ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam satu siri penguatkuasaan dijalankan di dua buah premis berbeza dekat ibu negara pada 6 Ogos lalu ekoran melanggar pelbagai kesalahan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, lokasi pertama serbuan dijalankan di sebuah ‘private party’ di Bukit Bintang manakala operasi kedua difokuskan di penempatan warga asing di Brickfields.

Katanya, dalam kedua-dua serbuan itu, seramai 365 individu telah diperiksa dan seramai 84 orang warga asing ditahan melibatkan kesalahan seperti tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah selain merupakan penyalahgunaan pas.

“Dalam operasi pertama, JIM menyerbu sebuah private party dijalankan penganjur warganegara Malaysia dan tetamunya terdiri daripada warga asing majoriti daripada benua Afrika.

“Semasa pemeriksaan, berlaku beberapa aksi provokasi dan cubaan melarikan diri melalui pintu belakang premis selain sebanyak 171 orang diperiksa dan 25 orang ditahan terdiri daripada petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, setiap tetamu dikenakan yuran masuk sebanyak RM150 secara dalam talian dan lokasi acara hanya akan dimaklumkan kepada tetamu pada hari terakhir bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Parti itu menghidangkan minuman keras dan persembahan yang menjolok mata. Rata-rata artis membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing dan mereka yang memegang pas pelajar asing.

“Bagi serbuan kedua di penempatan berbentuk kontena tiga tingkat, kebanyakan mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal,” ujarnya.

Mengulas lanjut, menurutnya, seramai 294 orang warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 59 orang telah ditahan antaranya melibatkan kesalahan tinggal lebih masa serta merupakan peserta Program Rekalibrasi PATI yang ditolak.

Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI