KUALA LUMPUR – Jumlah import bagi kegunaan sektor agromakanan negara berada pada tahap membimbangkan ketika ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pada tahun 2020, negara merekodkan jumlah import sebanyak RM55.4 bilion dan terus meningkat pada 2021 sebanyak RM63.6 bilion.
“Bagi tempoh pertengahan pertama 2022 iaitu Januari hingga Jun, negara telah merekodkan sebanyak RM36.6 bilion.
“Maknanya, kalau sampai cukup tahun ini kita dapat menjangkau sebanyak RM75 bilion dan kesan daripada trend ini sebenarnya adalah kerana kenaikan kos pengeluaran makanan seluruh dunia pada ketika ini,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. Nuing Jeluing mengenai kedudukan dan trend import komuditi agromakanan sejak tahun 2020 sehingga 2022 jika dibandingkan dengan eksport dan nyatakan sebab mempengaruhi trend tersebut serta apakah barang-barang keperluan makanan yang mempunyai Nisbah Ketergantungan Import (IDR) tinggi.
Tambah beliau, antara faktor lain yang mempengaruhi perubahan trend komuditi agromakanan negara adalah ketidakstabilan geopolitik kerana peperangan antara Rusia dengan Ukraine serta kesan paling penting iaitu keadaan iklim (extreme weather condition). – KOSMO! ONLINE