PETALING JAYA – “Saya reda dan halalkan anak saya, namun saya tidak akan berputus asa dan tak akan berhenti berdoa. Apa yang bakal berlaku, saya percaya itu lah yang terbaik dariNya.
Demikian kata-kata bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berikutan keadaan anaknya yang kembali teruk selepas mengalami demam panas dan sawan berulang sejak semalam.
Rentetan itu, Ahmad Safiuddin menyatakan beliau reda dengan keadaan anaknya namun tidak akan berhenti untuk doa agar kembali sihat.
“Hari ini Ainul di ‘ventilate’ lagi dan ditidurkan bertujuan untuk merehatkan badan dan otaknya dari demam sawan berulang. Ainul nampak penat sangat lepas diserang sawan panas banyak kali. Hari ini, biarlah dia berehat.
“Saya doa semoga Allah bukakan jalan dan bimbing doktor cari punca masalahnya. Doktor semua sedang berusaha keras mencari jalan rawatan yang terbaik saya saksinya. Kakak jururawat pun semua jaga Ainul dengan baik,” katanya di akaun Facebook.
Sehubungan itu, Ahmad Safiuddin menyatakan dia tetap usaha, doa dan akhir sekali, berserah kepada Allah pemilik segala kesembuhan dan kesihatan.
“Dia kalau nak bagi, tidak ada satu tangan pun boleh halang. Begitu juga jika Dia nak tarik nikmat-nikmat yang ada dalam hidup kita hari ini,” ujarnya.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan keadaan kesihatan yang semakin teruk memaksa Ainul Mardhiah Ahmad Safiudin melakukan semula prosedur yang sama seperti hari pertama dia mengalami jangkitan kuman minggu lalu.
Menurut Ahmad Safiuddin, dia memaklumkan anaknya terpaksa menggunakan alat ventilator ekoran keadaannya sangat tidak memuaskan ketika ini.- KOSMO! ONLINE