KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara akan menjalankan proses untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia sebagai tindakan susulan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan di Dewan Negara semalam.
“Seterusnya, perintah kuatkuasa tarikh peruntukan tersebut juga akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh kuatkuasa mengikut Fasal 1 RUU tersebut.
“Setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Wan Junaidi, pemakluman tersebut bertujuan mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti.
“Ia bagi terlihat selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Ini adalah untuk penyeragaman dengan undang-undang Persekutuan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.