NEW DELHI – Seorang remaja berusia 17 tahun di negeri Chhattisgarh, India didakwa membunuh ibu dan bapanya untuk dijadikan korban dalam usaha memulihkan keadaan abangnya yang mengalami masalah mental, lapor laman berita Wion News, semalam.
Penguasa Polis Chhattisgarh, Abhishek Meena berkata, mayat Sukru Ram Yadav, 40 dan isterinya, Manmati, 35 ditemui di bawah jambatan di Sungai Mahanadi dalam wilayah Saria pada 1 Ogos lalu.
Abhishek berkatam kejadian tersebut terbongkar semasa menyoal siasat suspek yang masih di bawah umur.
Remaja itu yakin bahawa kematian ibu bapanya adalah sebahagian daripada sihir kerana dia membunuh pasangan itu atas nasihat bomoh.
Suspek mendedahkan bahawa kira-kira sebulan yang lalu, abangnya menghidap penyakit mental.
Bagi mengubatinya, mereka bertemu seorang bomoh yang memberitahu puncanya adalah ‘ilmu hitam’ yang diamalkan oleh ibu mereka.
Suspek seterusnya memberitahu polis bahawa bomoh berkenaan menyarankan dia dan beberapa individu agar membunuh ibu bapanya bagi menyembuhkan abangnya.
Bomoh tersebut juga memberitahu suspek bahawa apa yang digelar sebagai ‘pengorbanan’ itu akan memperbaiki keadaan kewangan mereka.
Akibatnya, dengan bantuan abang iparnya, sepupu dan beberapa rakan, suspek didakwa mencekik ibu bapanya hingga mati pada 30 Julai lalu sebelum membuang mayat di bawah jambatan.
Polis berkata, seorang rakan subahat yang dikenali sebagai Dasrath Yadav masih melarikan diri.- Agensi