ALOR GAJAH – “Tidak sampai lima minit hujan, pusaran angin menerbangkan bumbung bilik tengah, dapur dan bilik air, mujur saya sempat menyelamatkan diri,” kata seorang penduduk, Baharom Yunus, 65.
Katanya, dia terkedu apabila melihat rumahnya yang terletak di tepi pantai di Kampung Pasir Gembur bergegar ketika ribut melanda dari arah kiri dan kanan kediamannya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Ujarnya, dia yang berada di rumah bersama ibu mentuanya bergegas menyelamatkan diri selepas bumbung kediaman dan stor di belakang rumah diterbangkan ribut kuat.
“Ini kejadian paling teruk berlaku sejak 25 tahun saya tinggal di sini, sebelum ini ada juga berlaku ribut tetapi tidaklah seteruk yang terjadi pagi tadi.
“Kami terkedu apabila bumbung rumah tiba-tiba diterbangkan ribut dan memusnahkan sebahagian rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Difahamkan dalam kejadian tersebut, sebanyak 56 buah rumah di empat kawasan perkampungan terjejas teruk selepas dilanda ribut.
Sebanyak 48 buah rumah yang terjejas adalah di Kampung Pasir Gembur, manakala Kampung Air Hitam Pantai enam buah rumah dan Kampung Air Hitam Darat serta Kampung Balik Batu masing-masing sebuah rumah. Turut terlibat adalah sebuah masjid iaitu Masjid Air Hitam Darat.
Tinjauan Kosmo! kira-kira pukul 3 tadi mendapati, penduduk kampung mula membersihkan kediaman masing-masing dengan dibantu anggota Tentera Darat dari Markas 3 Divisyen Kem Terendak, Sungai Udang dekat sini.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Azhar Mohd. Noor, 38, berkata, dia langsung tidak menyangka hujan lebat disertai angin kencang itu akan menerbangkan sebahagian bumbung rumah serta garaj keretanya.
“Kejadian itu berlaku terlalu cepat hingga membuatkan saya jadi kelam-kabut. Mujur saya dapat menyelamatkan diri daripada ditimpa bumbung yang diterbangkan,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Mohd. Azizan Daud ketika ditemui berkata, daripada 56 buah rumah terlibat hanya empat sahaja mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami lagi.
Menurutnya, empat keluarga dari Kampung Pasir Gembur terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Falak Al-Khawarizmi buat sementara waktu.
“Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah dibantu Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Tanjung Bidara sedang membuat penilaian kerosakan 56 buah rumah termasuk masjid yang rosak dilanda puting beliung,” katanya. -KOSMO! ONLINE.