fbpx

Pemandu Malaysia cepat panas hati kena hon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Sebahagian pemandu Malaysia sejak dahulu sampai sekarang cepat melenting dan mudah panas hati apabila dibunyikan hon di jalan raya.

Mungkin mereka rasa tercabar dan anggap telah dimalukan apabila hon dibunyikan terutama bunyi yang panjang dan berulang kali, lantas lagak pun terus bertukar menjadi ala samseng jalanan.

Bukan setakat membalas semula bunyi hon atau menunjukkan isyarat lucah, malah ada pemandu kereta dan penunggang motosikal sanggup ‘memancung’ kenderaan yang membunyikan hon untuk ajak bertumbuk di tepi jalan.

Mereka juga berani merosakkan kenderaan terbabit dan membuat ugutan jenayah terhadap pemandu lain hanya kerana dibunyikan hon.

Dahulu, aksi jelik itu sukar dilihat secara umum, namun kini dapat disaksikan apabila tindakan tersebut dirakam menggunakan ‘dashcam’ sebelum tular di media sosial.

Akhir bulan lalu, seorang pemandu kereta Toyota Vios mengamuk selepas seorang pemandu kereta Perodua Axia membunyikan hon apabila melihat lelaki terbabit memandu secara berbahaya.

Lelaki terbabit telah menahan kereta wanita itu dan memecahkan cermin kenderaannya selain membuat ugutan dalam kejadian di simpang empat Limbat, Kota Bharu.

Pada Februari lalu, seorang penunggang motosikal yang berang selepas dihon telah membaling sepana ke arah sebuah Toyota Vellfire sehingga cermin belakang kenderaan pelbagai guna itu pecah di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

Mangsa membunyikan hon akibat terkejut apabila melihat penunggang motosikal terbabit bertindak memotong dari arah kanan secara berbahaya.

Ini antara sekelumit kes yang ditulis, banyak lagi kejadian sebegini berlaku, malah boleh dikatakan setiap hari terjadi. Ternyata bunyi hon amat sensitif kepada pemandu di Malaysia yang mempunyai ego tinggi.

Sebenarnya hon dicipta untuk tujuan keselamatan dan mengelakkan daripada berlaku kemalangan maut selain melancarkan pergerakan lalu lintas.

Misalnya penunggang motosikal akan membunyikan hon apabila terlihat ada kereta atau lori di hadapannya yang cuba keluar dari simpang dan menukar haluan secara tiba-tiba, lebih-lebih lagi apabila berada di kawasan titik buta.

Apabila di lampu isyarat pula, terdapat pemandu yang leka bermain telefon masih tidak menggerakkan kereta walaupun lampu bertukar hijau. Jika tidak dibunyikan hon, kesesakan lalu lintas pasti berlaku.

Hon antara komponen paling awal dipasang pada kenderaan sejak kelahiran industri automotif pada abad ke-20 atau zaman selepas kereta kuda.

Alat ini bukan dicipta untuk mengajak pemandu lain turun dari kenderaan dan bergaduh di tepi jalan, sebaliknya menekan hon perlu dijadikan satu budaya komunikasi sihat dengan cara yang betul seperti negara lain termasuk Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI