SELEPAS mengetuai pasukan menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun musim lalu, kapten Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue kini mengintai satu lagi sejarah di pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Sejak mula menyertai skuad The City Boys pada pertengahan 2017, malam ini Josue bakal mengetuai rakan lain untuk memburu keputusan positif pada aksi separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC bertemu Viettel FC di Stadium San Van Dong Thong Nhat.
Selepas mengharungi situasi pasang surut sepanjang lima tahun di Kuala Lumpur, Josue sendiri akui dia tiada jalan pintas, namun kemenangan ke atas Viettel FC bakal memberi 1,001 kenangan hebat sepanjang berkelana di Malaysia.
“Saya cukup menikmati pengalaman pertama saya dan pasukan di pentas Piala AFC. Sudah pasti kami begitu bangga dengan sejarah kelab dan bagi saya, selepas lima tahun bersama pasukan segalanya seakan terbalas.
“Sebagai pemain, kami sedang menikmati detik ini dan perjalanan tidak akan berakhir di sini kerana mahu merekodkan satu lagi cerita baharu buat pasukan.
“Saya pasti barisan kejurulatihan akan mencari dan mengumpul data tentang kekuatan lawan. Sasaran kami sudah pasti untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.
KL City mara ke pusingan kalah mati selaku naib juara terbaik selepas menamatkan aksi kumpulan H di tempat kedua di belakang PSM Makassar.
Bagaimanapun, Josue lebih selesa untuk bersikap waspada kerana menyifatkan kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang dan kejayaan hanya ditentukan pada hari perlawanan.
“Saya tahu mereka memiliki pemain berkualiti dari Brazil.
“Tetapi saya fikir kedua-dua kelab di peringkat ini berada di tahap sama dan mana-mana pasukan tampil cemerlang akan lebih berhak layak ke pusingan seterusnya,” katanya.