COLUMBUS, OHIO – Sebuah pasukan permotoran di negeri Ohio, Amerika Syarikat memecah Guinness World Records kategori trak raksasa terpantas dengan catatan kelajuan pada 163.8 kilometer sejam (km/j), lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Pasukan Bad Habit yang digelar sebagai ‘Trak Raksasa Jeep Gladiator pertama dunia’ mencipta rekod tersebut pada acara tahunan, Cornwell Tools Night Under Fire Ke-45 di Summit MotorSports Park, Huron, Ohio.
Pemandu Joe Sylvester berjaya memandu trak itu pada kelajuan yang mengatasi rekod dunia sebelum ini.
“Kami sentiasa mahu melakukan yang terbaik bagi kenderaan dan sukan permotoran ini, dan dalam masa yang sama, memberikan persembahan hebat kepada orang ramai.
“Inilah apa yang kami lakukan. Kami menjalankan perniagaan hiburan di mana orang ramai membayar untuk menyaksikan trak raksasa beraksi.
“Setiap kali menamatkan pemanduan, kami hanya mahu cuba meningkatkan prestasi,” kata Sylvester.
Rekod sebelum ini dipegang oleh pemandu bernama Bryce Kenny yang memandu trak raksasa digelar Great Clips Mohawk Warrior dalam satu acara di Bradenton, Florida pada 2020. – Agensi