SERDANG – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyasarkan untuk membekal 144 juta ekor ayam setahun bagi pasaran negara dalam tempoh tujuh atau lapan tahun akan datang.
Pengurus Kanan Kumpulan Pembangunan Perniagaan Nafas, Aminuddin Salleh berkata, sasaran itu sekali gus memenuhi kira-kira 20 peratus pasaran bagi bekalan ayam negara ini.
Menurutnya, sebagai entiti berkaitan kerajaan, Nafas mengambil langkah tersebut dalam usaha membantu kerajaan menyediakan bekalan ayam kepada pengguna.
“Sasaran ini melibatkan tiga fasa dan pada masa ini, kita masih peringkat fasa pertama. Ia memang ambil masa sedikit, memerlukan modal yang banyak selain agak ‘berat’ sebenarnya namun kita kena buat.
“Ayam merupakan sumber protein utama dan langkah yang diambil Nafas ini bagi memastikan bekalan ayam tempatan terjamin,” katanya ketika ditemui pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.
Dalam pada itu, ujarnya, rantaian bekalan ayam di negara ini meliputi anak ayam, makanan untuk ternakan ayam, reban, pusat penyembelihan seterusnya ke pasaran negara.
“Justeru, usaha ini akan dilaksanakan secara kerjasama antara Nafas, Pertubuhan Peladang Negeri, Pertubuhan Peladang Kawasan serta ahli-ahli di seluruh negara sekali gus semua rangkaian terlibat.
“Selain itu, kita juga akan mengenal pasti beberapa reban ayam termasuk mengambil alih ladang yang terbengkalai untuk diperbaharui,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pada masa ini, Nafas mempunyai kekuatan dari segi fasiliti dan kemudahan dalam usaha memenuhi sasaran 144 juta ekor setahun itu.