fbpx

Kesihatan makin teruk, tulang dah himpit ke jantung – Zamani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMANI Slam dijadualkan menjalani pembedahan tulang belakang pada November depan.

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Zamani Slam mengakui tahap kesihatannya kini merosot teruk akibat masalah skoliosis atau tulang belakang melengkung yang dihidapi sejak empat tahun lalu.

Zamani yang juga vokalis kumpulan Slam berkata, buat masa sekarang dia perlu memakan ubat tahan sakit setiap hari sementara menunggu proses pembedahan yang dijadualkan pada awal November.

“Tulang belakang dah mencucuk tulang rusuk dan menghimpit jantung saya.

“Jadi saya perlukan pembedahan segera. Sekarang ini 24 jam saya sakit dan perlu makan painkiller (ubat tahan sakit). Memang dah tak ada ubat lain lagi.

“Sakit pula menyerang tak kira waktu. Kalau kena tu, tulang rasa macam ditarik-tarik. Kadang ketika tidur pun sakit boleh datang dan menjadi kejang.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sakit saya ini menyerang dengan teruk. Sebab ketika itu saya duduk di rumah saja dan tak bekerja,” katanya.

Tambah vokalis kumpulan Slam itu lagi, pihak hospital turut memberi jaminan peluang untuk sembuh tinggi hasil pembedahan yang bakal dilakukan nanti.

“Sebelum ini saya dimaklumkan peluang untuk sembuh tak ada. Rupanya informasi itu tak tepat sama sekali.

“Selepas saya buat semua ujian imbasan, doktor maklumkan peluang nak sembuh tinggi. Namun, tidaklah boleh kembali kepada normal.

“Sekarang ini sudah ada dua pusat perubatan dalam senarai untuk saya buat pembedahan. Doktor kata Oktober ini dah boleh buat, cuma saya ada beberapa komitmen kerja perlu diselesaikan dulu. Jadi, insya-Allah mungkin awal November nanti,” katanya.

Pada masa sama, Zamani mengakui terlalu gementar dan berdebar untuk melakukan pembedahan yang dijangka mengambil masa lapan hingga 10 jam itu.

“Saya bukan takut nak dibedah, tapi berdebar. Kalau nak tahu pembedahan adalah pilihan terakhir saya. Sebelum ini saya dah pergi banyak tempat dan rawatan alternatif lain.

“Difahamkan pembedahan ini memakan masa lapan hingga 10 jam. Nak sembuh pula bergantung pada kekuatan badan saya. Kalau semuanya okey, selepas dua minggu dah boleh memandu selain perlu menjalani fisioterapi.

“Saya berharap pembedahan ini berjalan lancar dan sembuh walaupun tahu tak mungkin berjaya 100 peratus,” katanya semasa ditemui pada sidang akhbar Rhythm of Legends Live in Concert hari ini.

Selain Zamani, konsert yang bakal berlangsung di Dewan Plenarry Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 29 dan 30 Oktober depan turut menampilkan penyanyi lain seperti Datuk Hattan, Asmidar, Rojer Kajol, One Nation Emcees dan Mawi.

Tiket menyaksikan konsert anjuran CS Excellent dengan kerjasama Drug Free Malaysia (DFM) itu mula dijual dan boleh dibeli menerusi laman web www.myticket.asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI