OTTAWA – Kerajaan Kanada mengisytiharkan darurat di Newfoundland dan Labrador selepas dua wilayah itu dilanda kebakaran hutan paling buruk dalam tempoh 50 tahun sejak dua minggu lalu, lapor laman berita Wion News semalam.
Menteri berkaitan, Andrew Furey bagaimanapun berkata, keadaan telah berubah dalam tempoh 36 jam lalu.
“Kami meramalkan akan dapat menguruskan bencana ini. Namun, berikutan perubahan arah angin, kami bimbang tentang kesan buruk akibat penyebaran asap. Justeru, kami tidak boleh menunggu lagi dan perlu bertindak sekarang (mengisytiharkan darurat kebakaran),” kata Furey.
Menurut media tempatan, kawasan luas telah dimusnahkan oleh dua kebakaran hutan berasingan itu.
Kebakaran pertama berlaku di Newfoundland dekat Lebuh Raya Bay d’Espoir yang memusnahkan lebih 4999 hektar kawasan hutan, manakala lebih 6500 hektar hutan musnah dalam kebakaran kedua di Paradise Lake.
Asap tebal menyukarkan usaha bomba untuk memadamkan api kerana pesawat bom air tidak dapat melihat kawasan kebakaran.
“Kami melakukan segala usaha untuk cuba membuka semula Lebuh Raya Bay d’Espoir tetapi realitinya, api marak di kedua-dua belah jalan dan angin tidak membantu selain saiz api bertambah besar,” kata seorang anggota bomba.
Pihak berkuasa juga melarang orang awam melakukan pembakaran dalam lingkungan 300 meter dari kawasan hutan.
Walaupun api terus membakar hutan, pihak berkuasa Kanada masih belum mengumumkan sebarang program pemindahan penduduk. Bagaimanapun, amaran dikeluarkan supaya penduduk bersiap sedia berpindah jika diarah berbuat demikian. – Agensi