SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian lelaki mengamuk di sebuah surau di Ampang Campuran dekat sini yang dikaitkan dengan penggunaan pembesar suara semasa program kuliah subuh.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, JAIS pada 23 Oktober 2017 telah mengeluarkan arahan kepada pentadbir masjid dan surau seluruh Selangor untuk tidak membenarkan penggunaan pembesar suara luar untuk sesi kuliah yang dijalankan.
Katanya, ini adalah selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris berhubung pembesar suara pada 16 Oktober 2017.
“Sultan Sharafuddin dengan jelas menitahkan bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah hendaklah dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.
“Pembesar suara luar hanya boleh digunakan bagi tujuan azan dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bagi tempoh pendek sebelum azan dilaungkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Shahzihan, titah baginda dibuat agar imej dan kemuliaan agama Islam sebagai suatu sistem cara hidup yang sempurna dan dianamik.
Ujarnya, ini juga sentiasa mementingkan kesejahteraan masyarakat seluruhnya dapat dirasai oleh semua pihak dan seterusnya menjadi contoh teladan yang baik.
“Justeru, siasatan lanjut akan dibuat mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No.9 Tahun 1995 kerana disyaki berlakunya satu perbuatan melanggar titah Sultan Sharafuddin atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki kerana mengamuk dalam surau selepas mendakwa kuliah Subuh terlalu bising hingga mengganggunya dalam kejadian di Ampang Campuran, dekat sini, Ahad lalu. -KOSMO! ONLINE.