SETIU – Pelayan restoran menjual air buah dikenali sebagai Darlene yang pernah mencetuskan kontroversi selepas dipeluk pelanggan lelaki menganggap kejadian yang berlaku pada bulan lalu menginsafkan dirinya.
Darlene, 31, berkata, disebabkan kejadian tular itu, dia kini lebih berhati-hati sewaktu bekerja bagi mengelak insiden sama berulang pada masa hadapan.
“Saya menerima banyak kecaman bukan sahaja di media sosial, malah secara bersemuka oleh segelintir pelanggan yang datang di restoran ini sejak kejadian tersebut tular pada awal Julai lalu.
“Namun, ada juga pelanggan yang bersimpati dan memberikan sokongan moral. Jauh di sudut hati, saya berasa tidak adil kerana hanya saya dicemuh dan dikenakan tindakan perundangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di restorannya di Kampung Saujana di sini kelmarin.
Berita berkaitan: Pelanggan lelaki peluk pelayan wanita dikecam
Menurut Darlene, tindakan undang-undang juga harus dikenakan ke atas pelanggan lelaki yang memeluknya.
Mengulas lanjut, wanita itu memberitahu, bagi mengelak sebarang kontroversi, dia lebih banyak melakukan kerja di bahagian dapur dan kaunter bayaran.
“Saya bimbang jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab merakam gambar saya melayan pelanggan secara curi-curi sehingga menimbulkan salah faham di kemudian hari.
Berita berkaitan: JHEAT siasat video pelanggan lelaki peluk pelayan wanita
“Lagipun kes sebelum ini yang disiasat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) masih berjalan dan dijangka disebut di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada bulan hadapan,” katanya.
Begitupun, Darlene tetap bersyukur kerana operasi perniagaannya yang popular dengan air buah dan masakan panas tidak terjejas dan masih dipenuhi pelanggan seperti biasa.
Kosmo! pada 5 Julai lalu melaporkan sebuah video memaparkan dua pelanggan lelaki memeluk bahu dan pinggang pelayan restoran wanita tular dalam media sosial sekali gus mengundang kecaman masyarakat.
Susulan kejadian tular itu, JHEAT menyerbu premis tersebut dan menjalankan siasatan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
Siasatan awal JHEAT mendapati premis makanan itu berada dalam pemerhatian pihak berkuasa itu ekoran dakwaan perlakuan kurang sopan melibatkan wanita terbabit.