RIYADH – Kumpulan muzik wanita popular Korea Selatan, Blackpink akan mengadakan persembahan sulung di Arab Saudi dalam rangka konsert jelajah mereka awal tahun depan, lapor akhbar Saudi Gazette, semalam.
Kumpulan yang dianggotai oleh Jisoo, Jennie, Rose dan Lisa itu telah mengumumkan tarikh dan bandar pertama untuk siri jelajah dunia ‘Born Pink’, dengan Riyadh disenaraikan sebagai lokasi persinggahan pada 20 Januari 2023.
Blackpink juga akan membuat persembahan di Abu Dhabi seminggu selepas itu iaitu pada 28 Januari selain dijadual menghiburkan peminat di Kuala Lumpur pada 4 Mac.
“Konsert Blackpink di Riyadh akan menjadi salah satu kejutan besar dalam sejarah festival ‘Riyadh Season’ tahun hadapan,” kata Pengerusi Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Hiburan Am (GEA), Turki Al-Sheikh.
Tambah Turki, butiran mengenai konsert itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
‘Riyadh Season’ adalah salah satu festival hiburan terbesar di Arab Saudi, yang berlangsung selama berbulan-bulan dengan pelbagai aktiviti besar.
Blackpink meraikan ulang tahun keenam penubuhan kumpulan tersebut Isnin lalu dengan berkongsi perasaan dan penghormatan mereka di Instagram.
Agensi pengurusan mereka iaitu YG Entertainment kemudian mengumumkan Blackpink akan mengeluarkan single baharu berjudul Pink Venom pada 19 Ogos ini, manakala album terbaharu berjudul Born Pink akan dikeluarkan pada September. – Agensi