LONDON – Pencabar kejuaraan MotoGP, Aleix Espargaro beraksi di Grand Prix (GP) Britain pada Ahad lalu dalam keadaan menanggung kesakitan apabila disahkan mengalami kecederaan patah tumit kaki kanannya.
Meskipun beraksi dalam keadaan sakit, pelumba Aprilia Racing tersebut berjaya menamatkan saingan di tempat kesembilan dan hanya dipisahkan 22 mata di belakang juara dunia musim lalu, Fabio Quartararo (Yamaha).
Espargaro mengalami kecederaan tersebut selepas terjatuh pada sesi latihan bebas terakhir, namun dibenarkan untuk bersaing.
“Kecederaan yang menimpa Espargaro tidak perlukan rawatan pembedahan, tetapi dia hanya perlu berehat untuk tempoh tujuh hari dalam memastikan kakinya kembali baik. Espargaro disarankan untuk menggunakan tongkat buat sementara waktu.
“Pasukan berharap Espargaro dalam keadaan baik untuk memastikan dia mampu bersaing pada perlumbaan hujung minggu ini nanti,” kata pasukan tersebut.
Pada saingan tersebut, pelumba utama pasukan Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia mengotakan janji apabila berjaya menjulang kemenangan di GP Britain di Litar Silverstone.
Kemenangan tersebut memastikan Bagnaia terus mengejar kedudukan, Quartararo yang juga pelumba Monster Energy Yamaha apabila hanya dipisahkan 49 mata selepas pelumba Perancis itu sekadar menamatkan saingan di tempat kelapan ekoran berdepan masalah tayar.
Rakan sepasukan Espargaro, Maverick Vinales berjaya menamatkan perlumbaan tempat kedua dan Jack Miller (Ducati) memastikan podium tempat ketiga menjadi miliknya. – AGENSI