LUMUT – Seramai 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tujuh wanita yang cuba memasuki negara ini melalui Perak ditahan dalam sebuah bot di perairan dekat Pulau Talang, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, polis turut menahan tekong bot berusia 39 tahun dan dua pembantunya berusia 45 dan 40 tahun.
“Kesemua PATI yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah termasuk tekong bot serta pembantu tekong berasal dari negara jiran.
“Bertindak atas maklumat awam, Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah berjaya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran di lokasi 2.5 batu nautika dari Pulau Talang kira-kira pukul 2.15 pagi,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kesemua PATI dikenakan bayaran antara RM800 hingga RM4,000 seorang kepada ejen di negara jiran itu bagi menyusup masuk ke negara ini.
Pada masa sama, tekong bot yang ditahan turut mengaku telah mula berlepas dari negara jiran menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan, Selangor sebelum bergerak ke perairan Perak.
Beliau memaklumkan kesemua tahanan dibawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh, Sitiawan bagi soal siasat dan tindakan lanjut oleh agensi berkaitan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012. – KOSMO! ONLINE