fbpx

60 peratus Benua Eropah berdepan kemarau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN tanah kering di dasar sungai Rhine di Duesseldorf, barat Jerman, pada 25 Julai lalu. – AFP

LONDON – Balai Cerap Kemarau Eropah (EDO) menganggarkan sekitar 60 peratus rantau Kesatuan Eropah (EU) dan Britain berada di bawah amaran kemarau, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin. 

Penemuan itu berdasarkan data terkumpul EDO dalam tempoh 10 hari menjelang akhir Julai lalu. 

EDO melaporkan, 45 peratus kawasan di EU kini berada di bawah amaran kemarau. Ia bermaksud berlaku pengurangan kelembapan dalam tanah, manakala 15 peratus lagi melibatkan amaran lebih serius melibatkan tumbuh-tumbuhan.

Data itu seiring dengan laporan agensi pemantauan iklim EU, Copernicus, yang mengatakan bahawa kebanyakan kawasan di Eropah pada Julai lalu adalah jauh lebih kering daripada biasa. 

Beberapa rekod dipecahkan di barat Eropah untuk taburan hujan rendah, manakala kemarau melanda beberapa bahagian di barat daya dan tenggara Benua Eropah.

Menurut EDO, keadaan itu memudahkan penularan dan peningkatan jumlah kebakaran hutan pada Julai lalu ketika sebahagian Eropah dilanda gelombang haba yang mencetuskan musim paling panas di benua tersebut. 

Data baharu itu dikeluarkan ketika krisis makanan dunia baru sahaja reda selepas Russia menarik balik sekatan eksport bijirin dari Ukraine.

Cuaca ekstrem dan masalah rantaian bekalan yang serius, memburukkan lagi krisis makanan dan berkemungkinan berterusan untuk tempoh yang lama.

Laporan terbaru oleh perkhidmatan sains Suruhanjaya Eropah, Pusat Penyelidikan Bersama (JRC) meramalkan berlaku penurunan lapan hingga sembilan peratus pengeluaran bijirin seperti jagung, bunga matahari dan kacang soya di EU kerana keadaan panas dan kering sekarang.

Saintis Kanan Copernicus, Freja Vamborg berkata, keadaan kering dari bulan-bulan sebelumnya digabungkan dengan suhu tinggi dan kadar kerpasan rendah yang dilihat di banyak kawasan pada Julai lalu mungkin mempunyai kesan buruk terhadap pengeluaran pertanian dan industri lain seperti pengangkutan sungai dan pengeluaran tenaga.

Pada Julai lalu, takungan air di beberapa bahagian Eropah merekodkan paras yang sangat rendah dan tidak mencukupi untuk mengekalkan permintaan, demikian menurut Copernicus. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI