fbpx

30 Ogos keputusan Emilia Hanafi dapat kebenaran cabar mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Emilia Hanafi dan Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 Ogos bagi keputusan permohonan bekas isteri Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin, Emilia Hanafi untuk mendapatkan kebenaran mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah memulakan prosiding komital kerana melanggar perintah mahkamah.

Prosiding komital terhadap Emilia ,43, itu adalah berikutan pelanggaran perintah mahkamah berhubung hak lawatan anak S.M Faisal antaranya membabitkan hak bermalam dan lokasi untuk Faisal mengambil tiga anaknya.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat di sini hari ini.

Terdahulu, peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir yang mewakili Emilia berhujah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding komital terhadap anak guamnya.

Ini kerana kerana kuasa untuk memulakan prosiding komital terhadap mana-mana individu tersebut hanya diberikan kepada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sebagai mana dinyatakan dalam Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara, Peguam Persekutuan Mohd. Sallehuddin Md. Ali menghujahkan, sekiranya pemohon (Emilia) ingin mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah yang dikatakan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan, permohonan itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Mohd. Sallehuddin mewakili Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Pada masa sama, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Faisal dan ibunya, Puan Sri Zaleha Ismail yang turut dinamakan sebagai responden menghujahkan, sejak dari awal permohohan komital dimulakan terhadap Emilia, wanita terbabit tidak pernah mengemukakan bantahan berkaitan pemaustautinnya.

Selain itu, peguam itu menyatakan peruntukan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur telah menyebut bahawa sama ada pasangan atau salah seorang daripada pasangan itu tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, maka tindakan undang-undang boleh dibuat oleh individu yang tinggal di Kuala Lumpur.

Emilia menamakan S.M Faisal, 43, bekas ibu mentuanya Puan Sri Zaleha Ismail, 70, dan lima pihak lain sebagai responden.

Turut dinamakan sebagai responden ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Dalam permohonan itu, Emilia menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hanya mempunyai bidang kuasa mahkamah tempatan yang terhad berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Emilia memohon suatu deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital dan menghukum individu yang bukan pemastautin Wilayah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Emilia memohon suatu perintah larangan untuk menahan prosiding komital syariah iaitu permohonan kebenaran mengeluar Notis Tunjuk Sebab (NTS) di Mahkamah Tinggi Syariah yang difailkan oleh S.M Faisal.

Turut dipohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan itu dan NTS yang telah dimeterai.

Emilia juga memohon membatalkan semua surat, notis, arahan, perintah atau arahan yang mesti dipatuhi atau arahan lain yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur.

Beliau juga memohon suatu perintah interim untuk menggantung semua prosiding dan pelaksanaan apa-apa perintah bagi prosiding syariah sementara menunggu pelupusan muktamad pendengaran prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana melanggar perintah mahkamah berhubung tarikh lawatan anak-anaknya dan wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Pada 27 Jun lalu, Emilia mula menjalani hukuman penjara tujuh hari selepas menyerah diri di mahkamah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI