fbpx

Sabah terus cabar kedudukan JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain-pemain Sri Pahang meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super 2022 PJ City menentang Sri Pahang, di Stadium MBPJ, di sini hari ini. - FOTO: SHIDDIEQIIN ZON

PEMAIN berpengalaman terus memacu kemenangan Sabah dan kali ini giliran Baddrol Bakhtiar meledak gol kemenangan ketika menewaskan Sarawak United 1-0 di Stadium Likas, sebentar tadi.

Pada 31 Julai lalu, Amri Yahya pernah dinobatkan selaku wira The Rhinos ketika dua gol yang dihasilkannya memastikan kemenangan 2-1 ke atas Melaka United dan jaringan Baddrol kali ini sudah memadai untuk Sabah mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super dengan 34 mata, dipisahkan satu mata berbanding Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat pertama.

Terdahulu, aksi di babak pertama berlangsung seimbang dan satu-satunya peluang terbaik hanya hadir pada minit ke-44 sebaliknya tandukan bintang import Sabah, Saddil Ramdani menuju tepat ke arah penjaga gol lawan, Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Permainan lebih positif dipamerkan kedua-dua pasukan di babak kedua dengan Tauffiq sekali lagi menjadi tumpuan ketika melayangkan badannya untuk menepis keluar percubaan jarak jauh Amri pada minit ke-50.

Selang dua minit selepas itu, Uche Agba mencetuskan situasi kelam kabut dalam kotak penalti tuan rumah apabila berjaya melepasi kawalan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat namun pertahanan Sabah begitu pantas menutup ruang.

Minit ke-62, penyokong tuan rumah akhirnya ceria apabila Baddrol memanfaatkan peluang terhidang selepas bijak menyambut hantaran daripada Saddil.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Datuk Dollah Salleh membuktikan keputusan pihak pengurusan kelab untuk melantik dirinya sebagai pengendali sementara Sri Pahang adalah tepat ketika memastikan kemenangan 3-0 ke atas Petaling Jaya City.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan seimbang sebaliknya Sri Pahang lebih bernasib baik untuk memperoleh jaringan pembukaan menerusi Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-27.

Memasuki minit terakhir babak pertama, bintang import Tok Gajah, Steven Rodriguez terus pamer ketajamannya ketika meledak gol keempat peribadinya dalam saingan Liga Super sekaligus memastikan Sri Pahang memasuki bilik persalinan dengan kelebihan dua gol.

Disebalik usaha PJ City memburu gol pertama, minit ke-90, Manuel Hidalgo sekali lagi pamer magis apabila menoktahkan larian solonya dari tengah padang dengan rembatan deras untuk menghasilkan gol ketiga Tok Gajah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI