fbpx

Ribut terbangkan khemah penjaja kecil di Pasir Puteh Sentral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan khemah dan barangan penjaja kecil di Pasir Puteh Sentral, Pasir Puteh selepas dibadai ribut petang semalam.

PASIR PUTEH – Penjaja kecil di sekitar Pasir Puteh Sentral bertempiaran lari selepas khemah yang menjadi tempat berteduh semasa berniaga diterbangkan ribut kencang petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang bermula dengan angin kencang selama lima minit sebelum disusuli dengan hujan lebat dalam tempoh empat jam.

Keadaan itu menyebabkan beberapa lokasi perniagaan penjaja kecik di sekitar Pasir Puteh Sentral, kawasan jalan pintasan Pasir Puteh dan Jalan Tok Bali-Melawi rosak.

Selain itu, dua jalan utama iaitu Jalan Semerak-Pasir Puteh di Kampung Puyu dan Gong Kubur menuju ke Bandar Lama Pasir Puteh terhalang apabila pokok besar tumbang melintangi laluan.

Seorang peniaga air balang di Tok Bali, Fadilah Ismail, 23, berkata, angin kencang itu menerbangkan khemah jualannya ke udara sehingga menyebabkan dia terpaksa mencari premis berdekatan untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, barangan jualan bersepah di tepi jalan dengan kesemuanya gagal diselamatkan.

“Saya tidak pernah berdepan situasi ribut yang sangat kencang, namun tetap bersyukur apabila berjaya menyelamatkan diri.

“Semasa kejadian berlaku, saya sempat melihat deretan pokok ru besar di tepi jalan Tok Bali-Melawi yang bergoyang-goyang akibat dibadai ribut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Emli Mustofar berkata, pihaknya bergegas ke beberapa jalan utama untuk membersihkan pokok tumbang yang menghalang laluan trafik.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasa kira-kira pukul 6.08 petang apabila sebatang pokok menghempap sebuah lori jenis Daihatsu Delta berhampiran kilang padi.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku sepanjang tempoh ribut melanda daerah ini. Hanya beberapa laluan utama yang terhalang akibat pokok tumbang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI