PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir beserta angin kencang di tiga negeri pagi ini.
Menurut MetMalaysia tiga negeri tersebut adalah Negeri Sembilan, Melaka serta Johor dan amaran cuaca tersebut dijangka akan berlaku sehingga tengah hari nanti.
“Di Negeri Sembilan ia melibatkan kawasan Port Dickson, manakala di Johor ia membabitkan daerah Tangkak dan Muar.
“Amaran sama turut dikeluarkan ke seluruh daerah di negeri Melaka,” kata MetMalaysia di laman Facebooknya.
Jelas MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE