MANCHESTER – Pengurus Brighton, Graham Potter akui sudah mampu menjangkakan senarai pemain yang diturunkan Manchester United ketika meraih kemenangan 2-1 di Old Trafford kelmarin.
Pada perlawanan itu, pengendali The Red Devils, Erik Ten Hag menurunkan pemain baharunya, Christian Eriksen untuk menggalas tugas sebagai pemain di posisi false nine dan meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan.
Biarpun cuba menggunakan taktik tersebut, Potter mengakui bahawa pemainnya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan ia terbukti ketika meraih kemenangan buat kali pertama di Old Trafford dalam sejarah.
“Ia langsung tidak mengejutkan. Mereka memiliki beberapa lagi pilihan,” kata Potter yang menyaksikan Pascal Gross muncul wira dengan meledak kedua-dua gol buat Brighton.
Walaupun Brighton memberikan ‘hadiah’ kepada tuan rumah menerusi gol sendiri Alexis Mac Allister, Potter menjelaskan tekanan yang diberikan anak buahnya berjaya menyekat United daripada mendapatkan tambahan jaringan.
“Persembahan yang hebat dan kami berhak untuk mendapatkan kemenangan. Usaha yang hebat ditunjukkan oleh pemain dan kemenangan ini beri permulaan positif buat pasukan.
“Kami tahu bagaimana untuk menyerang dan memberikan tekanan kepada mereka. Mengambil kira kualiti yang ada pada United, kami berdepan tugas sukar, namun pemain sudah berikan segala-galanya,” jelasnya. – AGENSI