fbpx

Negeri Sembilan catat 8,921 kes penipuan, kerugian lebih RM220 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminuddin Harun

SEREMBAN – Sebanyak 8,921 kes penipuan jenayah komersial menggunakan pelbagai modus operandi direkodkan di Negeri Sembilan melibatkan kerugian melebihi RM220 juta bagi tempoh 2018 hingga 2022.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Seremban mencatatkan kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM144.5 juta diikuti Nilai (RM30.1 juta), Port Dickson (RM21.7), Kuala Pilah (RM10.9 juta), Tampin (RM9.2 juta), Jempol (RM7.2 juta), Rembau (RM2.7 juta) dan Jelebu (RM2.4 juta).

“Bagi tempoh kajian ini, kita dapati kebanyakan mangsa kes penipuan adalah dalam kalangan bangsa Melayu lingkungan umur 15 tahun ke 40 tahun dikuti bangsa Cina, India dan selebihnya di bawah lain-lain bangsa dalam kategori umur yang sama,” katanya pada Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan yang ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chew Seh Yong (PH-Lobak) berhubung kes penipuan jenayah komersial dan kerugian sejak tahun 2018 hingga 2022.

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan dalam usaha menyebar luas ilmu pengetahuan kepada masyarakat bagi mengelakkan dari menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik mangsa penipuan termasuk pelbagai kempen.

“Di sini saya mengambil kesempatan untuk sama-sama saling mengingati bukan sahaja dalam kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam dewan ini, tetapi juga seluruh masyarakat di luar agar sentiasa berwaspada, sentiasa celik, sentiasa melindungi diri dan keluarga agar tidak terpedaya dengan sebarang iklan atau usaha niaga yang menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar tidak tertipu dengan panggilan scam yang kononnya daripada agensi kerajaan, mahupun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya.

“Sentiasa semak dengan badan yang berkenaan. Pergi ke kaunter jika perlu. Telefon nombor di laman web rasmi agensi berkenaan dan sentiasa dapatkan maklumat yang benar.

“Yang terkini adalah penipuan melalui laman interaksi Telegram, sentiasa semak dengan tuan punya badan untuk memastikan kesasihannya. Jangan kita tertipu dengan tipu muslihat kononnya ingin meminjam duit tapi menggunakan akaun lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI