PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) dilaporkan sesak sepanjang 3.8 kilometer (km) berpunca dari kemalangan melibatkan sebuah lori kontena yang terbalik sehingga menghalang lorong kiri dan kecemasan.
Menurut Twitter rasmi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), kejadian tersebut berlaku di KM 75.9 arah barat selepas Plaza Tol Karak ke Bentong Timur lewat petang tadi.
Ekoran daripada kemalangan tersebut, keadaan jalan dilaporkan licin akibat tumpahan minyak dari lori kontena terbabit.
Bagaimanapun, kerja pembersihan sedang giat dijalankan oleh pasukan bomba dan pihak polis juga membantu mengawal kesesakan yang berlaku. – KOSMO! ONLINE