KLANG – Tindakan seorang lelaki merosakkan mesin pengeluaran automatik (ATM) sebuah bank membawa padah apabila dicekup polis dalam tempoh kurang 24 jam di Jalan Dato Dagang 6, Taman Sentosa di sini semalam.
Suspek berusia 25 tahun ditahan kira-kira pukul 8.45 malam selepas melakukan perbuatan jenayah pukul 4 pagi hari sama.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada pengurus wanita sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi berhubung perbuatan khianat dilakukan suspek tersebut.
Katanya, pengurus tersebut telah dimaklumkan pembantunya berhubung dua skrin mesin ATM telah mengalami kerosakan.
“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tempat kejadian mendapati suspek telah masuk melalui pintu utama yang tidak berkunci serta tiada kawalan pergerakan keselamatan semasa kejadian.
“Suspek cuba untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM dan tiba-tiba bertindak menendang skrin tersebut sehingga menyebabkan kerosakan sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, semasa kejadian terdapat dua mesin ATM, enam mesin deposit tunai (CDM) serta sebuah mesin cek deposit di bank berkenaan.
Hoong Fong menambah, bertindak atas maklumat pihaknya kemudiannya menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di Taman Sentosa.
“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Suspek kini direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE