fbpx

Lebih 45 syarikat Timur Tengah sertai UHIT 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zamri (tengah), melawat pameran pada Maljlis Perasmian Pameran Pelancongan Antarabangsa Umrah dan Haji di Hotel Four Season, di sini hari ini. /FOTO SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Lebih 45 syarikat dari Timur Tengah menyertai Pameran Pelancongan Antarabangsa, Umrah, Haji (UHIT) 2022 dalam menawarkan pakej pelancongan, perhotelan dan pengangkutan melalui sesi rangkaian ‘Business to Business’ (B2B) kepada lebih 100 agensi pelancongan tempatan khusus buat bakal jemaah haji dan umrah.

Pameran ini merupakan acara tahunan yang diadakan di Malaysia bermula tahun 2010 dan bagi penganjuran kali ke-11 ini, ia dikendalikan oleh Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan Perfect Event dari Kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd. Zamri Mat Zain berkata, penganjuran program ini merupakan platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan kerjasama selain mewujudkan jaringan perniagaan antara syarikat pelancongan tempatan dan antarabangsa.

“UHIT 2022 ini memberi gambaran mengenai prospek pelancongan Islam antara ahli Bumitra dan pemain industri pelancongan, perhotelan dan juga pengangkutan melalui sesi rangkaian berkonsepkan B2B yang menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan kerjasama selain mewujudkan jaringan perniagaan antara syarikat antarabangsa dengan agensi pelancongan tempatan.

“Saya difahamkan Malaysia merupakan destinasi pertama yang dipilih oleh pihak Perfect Event daripada empat lokasi yang ditetapkan di mana selepas ini mereka akan bergerak ke Jakarta, Istanbul dan Mesir dalam mempromosikan pakej yang disediakan di Arab Saudi buat bakal jemaah,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan UHIT 2022 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Zamri mengingatkan bakal jemaah agar menyemak agensi pelancongan yang dipilih terlebih dahulu dan pastikan syarikat tersebut berdaftar di bawah MOTAC serta mempunyai reputasi baik dalam pengendalian jemaah umrah dan haji.

“Ia bertujuan bagi mengelakkan bakal jemaah ditipu oleh agensi-agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Katanya, kerajaan telah banyak memberi peringatan serta makluman kepada rakyat Malaysia agar mengambil iktibar dan perhatian lebih dalam memastikan mereka berurusan dengan syarikat umrah dan haji yang telah dilesenkan oleh pihak MOTAC. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI