fbpx

Kumpulan pertama pekerja Bangladesh tiba hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja warga Bangladesh bagi sektor pembuatan mula memasuki negara ini secara berperingkat bermula hari ini. /FOTO IHSAN KSM

PUTRAJAYA – Malaysia mula menerima kemasukan kumpulan pertama pekerja warga Bangladesh bagi sektor pembuatan secara berperingkat bermula hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kemasukan itu adalah susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Penggajian Pekerja Warga Bangladesh yang telah ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 19 Disember 2021.

“Ketibaan para pekerja ini disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia dan kumpulan pekerja ini akan digajikan untuk sektor pembuatan.

“Selain itu, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh pada minggu lalu juga telah mengesahkan
permohonan daripada 80 majikan tempatan yang melibatkan penggajian seramai 6,000 warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, bagi majikan yang telah membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan bercadang untuk menggajikan pekerja warga Bangladesh, mereka boleh memohon pengesahan (attestation) penggajian dan dokumentasi seperti kontrak pekerjaan serta pesanan kerja ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia.

Khamis lalu, Saravanan menegaskan pihaknya sudah menyelesaikan isu-isu dengan semua negara sumber dan Malaysia akan mula menerima pekerja dari semua negara termasuk Bangladesh dan Indonesia.

“Ia susulan Malaysia dijangka menandatangani MoU berhubung pengambilan pembantu rumah warga Kemboja awal September depan.

“Tarikh pemeteraian perjanjian itu akan ditetapkan selepas beberapa kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiapkan ulasan mereka mengenai perkara itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI