MERSING – Pencarian sebuah keluarga terhadap seorang bapa yang dikhuatiri hilang sejak Ahad lalu berakhir dengan tragedi pilu apabila warga emas ditemui maut selepas kereta Perodua Myvi dipandu terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Jemaluang di sini, awal pagi hari ini.
Anak sulung mangsa, Zul Hasni Zahari, 39, ketika dihubungi berkata, dia menerima panggilan kira-kira pukul 7 pagi daripada orang awam memaklumkan penemuan kereta dinaiki bapanya, Zahari Zakaria, 63.
Jelasnya, berdasarkan maklumat awal, bapa kepada tujuh anak itu ditemui meninggal dunia selepas tersepit dalam keadaan kereta yang terbalik.
“Bapa saya kerja sebagai inspektor kapal dekat Pelabuhan Pasir Gudang, hujung minggu atau dua minggu sekali dia akan balik ke kediaman keluarga di Kemaman, Terengganu.
“Dia (Zahari) bertolak dari Kemaman kira-kira pukul 10 malam melalui jalan biasa dia memandu iaitu Jalan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jenazah Zahari kini dibawa ke Hospital Mersing di sini sebelum akan dibawa ke Kemaman untuk dikebumikan di kampung halamannya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang dalam perjalanan pulang dari Kemaman, Terengganu ke rumahnya di Johor.
Menerusi perkongsian anak mangsa, Siti Nurfaezah Zahari di laman Facebooknya semalam, bapanya Zahari Zakaria tidak dapat dihubungi lebih 24 jam. – KOSMO! ONLINE