fbpx

JIM dan LHDN kongsi maklumat data ekspatriat elak ketirisan cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (tengah) menyaksikan perjanjian persefahaman MoU di antara Khairul Dzaimee (dua kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd. Nizom Sairi (dua kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara JIM dengan LHDN di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

CYBERJAYA – Selepas dua tahun tertangguh akibat Covid-19, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambung semula memorandum persefahaman (MoU) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi kerjasama perkongsian maklumat berkenaan ekspatriat di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kerjasama itu penting bagi mengatasi ketirisan cukai membabitkan ekspatriat yang bekerja di Malaysia.

Beliau berkata, MoU sama pernah dimeterai kali pertama selama lima tahun bermula 19 Jun 2014 hingga 18 Jun 2019 dan MoU kali ini akan berkuat kuasa selama tiga tahun sehingga 2025.

“MoU ini antara lain membolehkan kerjasama perkongsian maklumat antara JIM dan LHDN berkaitan data-data ekspatriat yang bekerja di negara ini seperti nama, warganegara, nombor pasport, rekod keluar masuk dan tarik tempoh sah laku pas.

“Kesinambungan perkongsian data ini adalah bagi memastikan terdapat kawalan efektif dalam pembayaran cukai oleh ekspatriat sekali gus membantu menyumbang hasil pendapatan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU tersebut hari ini.

Katanya, setakat ini, belum ada ekspatriat yang gagal melunaskan cukai kepada LHDN namun, jika itu berlaku pas ekspatriat mereka tidak akan diperbaharui sekali gus tidak lagi boleh bekerja di negara ini.

Khairul Dzaimee berkata, menerusi kerjasama ini, pihak Imigresen boleh menghalang mana-mana ekspatriat yang tidak membayar cukai untuk keluar dari Malaysia.

Pada masa sama, ketirisan bayaran cukai oleh ekspatriat dapat dikurangkan dan seterusnya membantu menambah hasil pendapatan negara.

“Berdasarkan statistik LHDN, sebanyak RM20.12 bilion cukai berjaya dikutip daripada ekspatriat bagi tempoh antara 2014 hingga 2021 yang lalu dengan kutipan tertinggi pada 2019 iaitu RM3.6 bilion,” katanya.

Katanya, setakat ini, sebanyak 162,170 pas aktif ekspatriat direkodkan dengan 99,200 adalah pemegang pas prinsipal manakala 62,970 adalah pas tanggungan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI