PETALING JAYA – Filem seram Jerangkung Dalam Almari berjaya meraih kutipan RM1 juta selepas empat hari ditayangkan di pawagam sekali gus menjadi antara filem yang mencatatkan kutipan ‘box office’ tahun ini.
Penerbit Jerangkung Dalam Almari, Raja Azmi melahirkan rasa syukur atas pencapaian filem tersebut kerana mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton.
“Alhamdulillah. Syukur dan syukur yang tidak terhingga. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menonton filem ini. Allah SWT sahaja yang akan membalas budi baik anda semua,” katanya.
Selain ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia, filem arahan pengarah Shadan Hashim itu juga diterima baik penonton di Singapura dan Brunei.
“Semoga filem Jerangkung Dalam Almari yang sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei terus mendapat sambutan orang ramai. Amin.
Pelakon utama Jerangkung Dalam Almari, Datuk Adi Putra menerusi Instagramnya turut berkongsi berita gembira itu dan mengucapkan terima kasih atas sokongan peminat yang sudah menonton filem seram tersebut.
“Terima kasih semua dan teruskan menyokong,” katanya.
Raja Azmi dalam satu pertemua bersama Kosmo! Online baru-baru ini memberitahu menyasarkan filem yang menelan belanja lebih RM2 juta itu mampu mencapai kutipan sehingga RM7 juta.
“Kalau ditanya tentang sasaran kutipan filem ini, paling tinggi saya berharap akan dapat kutipan RM7 juta.
“Selepas ditolak separuh kutipan untuk pawagan, bayaran cukai dan kos pembikinan, selebihnya saya akan berikan bonus pada mereka yang terbabit dalam file mini,” ujarnya.
Selain Adi Putra, Jerangkung Dalam Almari turut menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Sophia Albarakbah, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar dan Amerul Affendi.
Filem terbitan Akid Productions Sdn Bhd itu mengisahkan Fikri lakonan Adi yang tidak tenteram akibat gangguan lembaga dari dalam almari.
Gangguan itu turut mengancam nyawa isterinya, Shikin (Sophia Albarakbah) dan anak mereka, Adam (Isaac Iman).
Antara jalan cerita yang dipaparkan ialah kisah tiga beradik yang membiarkan syaitan bermaharajalela dalam diri mereka sehingga berdendam dan prasangka terhadap diri masing-masing. – KOSMO! ONLINE