fbpx

[VIDEO] Inilah saya, baik buruk saya sendiri akan tanggung – Elyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELYANA ketika ditemui Kosmo! Online hari ini.

PETALING JAYA – “Saya ambil keputusan untuk tidak menjelaskan apa-apa (isu buka tudung) kerana mereka (netizen) tidak ingin penjelasan daripada saya.”

Itu respons penyanyi Elyana berhubung isu buka tudung dan penampilannya yang sudah terang lagi bersuluh tidak lagi berhijab ketika ini.

Enggan membuat sebarang pengakuan tentang imej baharunya, Elyana yang buat pertama kali tampil di depan khalayak ranai tidak memakai tudung hari ini bertegas, setiap penjelasan yang keluar dari mulutnya juga ibarat sia-sia.

Katanya, netizen sebenarnya tidak mahu ambil tahu tentang dirinya.

“Kalau saya jelaskan, selagi itulah macam-macam cerita yang saya rasa akan timbul. Demi menjaga tatasusila, menjaga jiwa saya, menjaga persekitaran saya, saya ambil keputusan untuk tidak mahu menerangkan apa-apa,” katanya ketika ditemui semasa Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Bercakap lebih lanjut, pelantun lagu Niat itu memberitahu, tidak pernah ada istilah penyesalan dalam hidupnya. Dia juga mengakui mengimpikan sebuah kehidupan yang baik untuk kesihatan jiwanya.

ELYANA hanya mahu jadi diri sendiri dan mencari solusi terbaik untuk kesihatan jiwanya.

“Dalam hidup saya tidak pernah ada penyesalan. Apa yang saya boleh cakap, setiap hari saya impikan kehidupan yang baik untuk jiwa saya.

“Saya selalu jaga hati dan jiwa orang lain sehingga lupa tentang hati sendiri. Saya akan buat apa yang saya terfikir mahu buat. Baik buruknya, Insya-Allah saya sendiri yang akan tanggung,”

Pada masa sama, Elyana berkata mahu menjadi diri sendiri dan tidak akan berhenti daripada mendoakan kebaikan untuk orang lain.

“Inilah saya. Terima kasih untuk mereka yang mendoakan saya selama ini. Jika anda rasa masih ingin mendoakan saya, saya akan mendoakan balik pada anda.

“Jika anda tidak mahu mendoakan saya, saya tetap akan mendoakan kebaikan untuk anda dan berharap anda tidak merasai dan menanggung apa yang saya alami selama ini,” jelasnya.

Elyana menjadi topik perbualan hangat netizen sejak minggu lalu selepas memuat naik beberapa keping foto tidak lagi memakai tudung.

Foto yang mengundang kejutan besar terhadap pengikut Instagramnya itu seterusnya mencetuskan pelbagai spekulasi, masing-masing berdebat mempersoalkan punca Elyana itu bertindak sedemikian rupa tanpa memikirkan kesan buruk terhadap imejnya.

Paling menarik perhatian ramai ialah apabila salah satu foto dikongsi memaparkan dia memakai baju yang tertulis ‘jadi diriku’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI