SHAH ALAM – Gelombang Covid-19 subvarian Omicron BA.5 masih terkawal walaupun kes jangkitan virus tersebut antara 2,000 hingga 5,000 kes di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jumlah kematian pesakit akibat dijangkiti virus itu turut rendah selain jumlah pesakit yang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di negara juga terkawal.
“Kini (tengok keseriusan kes) ikut proxy indicator dan kita tak tengok sangat jumlah kes (harian).
“Kami masih boleh mengurus masalah ini dengan baik sebab kalau tengok pada (jumlah) kes didapati turun dan naik,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini, hari ini.
Perasmiannya telah disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut berangkat ke majlis itu adalah Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Laman portal CovidNow melaporkan sebanyak 2,861 kes jangkitan baru Covid-19 dengan enam kematian yang dicatatkan di negara ini semalam. Ini menjadikan keseluruhan jangkitan Covid-19 di negara ini sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia berjumlah 4,711,415 kes.
Sementara itu, Khairy menegaskan individu yang dijangkiti Covid-19 perlu melaporkan jangkitan mereka dengan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui aplikasi MySejahtera.
“Saya sendiri buat ujian (untuk ketahui dijangkiti Covid-19 atau tidak) tiga kali seminggu.
“Apabila anda (mereka yang dijangkiti Covid-19) melaporkan melalui MySejahtera, senang untuk KKM tahu keadaan sebenar anda. Lagipun, kita sekarang sudah longgarkan protokol (ujian mengesan Covid-19) dari PCR kepada kebanyakkan keputusan diterima ketika ini adalah ujian RTK-Antigen dari pesakit,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE