CUKUP ringkas tetapi menjadi hari yang sangat bermakna buat penyanyi rap terkenal, Beenzino apabila sah bergelar suami baru-baru ini.
Penyanyi itu dilaporkan mendaftarkan perkahwinannya dengan pilihan hati, seorang wanita kulit putih bernama Stefanie Michova di Pejabat Daerah Yongsan.
Menerusi perkongsian dalam Instagram, Beenzino memuat naik beberapa keping gambar memaparkan dia berada di dalam sekitar pejabat berkenaan selepas selesai mendaftarkan perkahwinan mereka.
Dalam foto yang dikongsinya, penyanyi itu tampil ringkas mengenakan baju kemeja lengan pendek berwarna biru gelap, manakala Stefanie pula memakai gaun tanpa lengan pendek paras lutut berwarna putih.
“Berita tergempar. Beenzino dan Stefanie berkahwin secara rahsia dengan cara yang hebat di Pejabat Daerah Yongsan.
“Pekerja di situ berpeluh ketika mengisi borang pendaftaran perkahwinan kami,” selorohnya.
Penyanyi dengan nama sebenar Lim Sung-bin itu mula bercinta dengan isterinya sejak 2015. Dia kemudian melamar wanita itu pada 1 Januari 2020.