MUNICH – Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic mengesahkan pemain sayap sensasi, Leroy Sane tidak akan dijual pada jendela perpindahan ini meskipun namanya telah dikaitkan dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.
Difahamkan, The Red Devils masih terdesak untuk menguatkan pasukan utamanya pada musim baharu kali ini dengan meletakkan bekas pemain Manchester City itu sebagai sasaran memandangkan pengalamannya bermain di EPL selama empat tahun sebelum ini.
Pemain berusia 26 tahun yang telah berhijrah ke Bayern pada tahun 2020 berjaya membantu pasukan itu menjuarai dua trofi Bundesliga untuk dua musim berturut-turut.
Kata Salihamidzic, skuad utama kendalian Julian Nagelsmann tidak ada perancangan untuk melepaskan Sane yang dianggap mempunyai peranan penting buat pasukan pada musim ini.
“Tiada apa yang boleh saya komen mengenai spekulasi perpindahan Sane. Buat masa ini, dia adalah pemain penting buat kami dan kekal berada dalam perancangan ketua jurulatih,” katanya.
Pada saingan musim lepas, Sane telah menjaringkan tujuh gol dan tujuh bantuan jaringan dibelakang Thomas Muller yang meledak lapan gol, Serge Gnabry (14 gol) dan Robert Lewandowski (35 gol).
Skuad The Bavarian dijadualkan bertemu dengan Wolfsburg pada aksi pembuka tirai Bundesliga pada minggu ini. – AGENSI