PELUMBA pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar meraih kemenangan pertama pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 bagi kelas CP150 selepas memenangi perlumbaan pusingan keenam di Litar Antarabangsa Sepang Utara kelmarin.
Selepas enam pusingan, pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu berjaya menunaikan hasrat untuk menjadi pemenang dengan pencapaian terbaik ketika menamatkan saingan di Jempol di tempat kedua.
Azroy nyata gembira dengan kemenangan itu dan menganggap pasukannya bekerja keras memastikan jentera mendapat pelarasan terbaik, sekali gus membantu memberi tentangan kepada pelumba lain.
“Saya berterima kasih kepada pasukan kerana mereka berjaya mendapatkan pelarasan terbaik untuk perlumbaan hari ini (kelmarin). Persaingan cukup sengit dan saya hanya mencari jalan untuk menguasai perlumbaan.
“Sebelum pusingan terakhir perlumbaan, saya terpaksa bersaing dalam kelompok belakang walaupun pada awalnya merancang untuk berada di kedudukan kedua atau ketiga.
“Ini bagi mencerahkan peluang memenangi perlumbaan,” katanya.
Tambah pelumba berusia 23 tahun itu, pergerakan angin sedikit sebanyak membantunya pada pusingan terakhir sehingga membolehkan dia memintas beberapa pelumba lain, sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang.
“Sebelum selekoh terakhir, mungkin ada tiupan angin dan saya terus dapat memintas sekurang-kurangnya empat atau lima jentera pesaing.
“Semasa menuju ke garisan penamat, saya berada di tempat ketiga, tetapi usaha keras yang dilakukan nyata berbaloi,” ujarnya.