fbpx

Kapal dagang elak berlabuh di Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelabuhan Kaohsiung adalah laluan utama dan penting bagi kapal-kapal dagang dunia. - Container News

TAIPEI – Situasi tegang antara China dan Taiwan  ‘menakutkan’ banyak kapal dagang di pelabuhan Kaohsiung yang mula meninggalkan pulau berkenaan, lapor laman berita Thaiger, kelmarin.

Kapal-kapal perang  China menyertai latihan tentera di lokasi  pada jarak hanya 28 kilometer  dari Kaohsiung yang merupakan  pelabuhan perkapalan penting di selatan Taiwan.

Kebanyakan kapal dagang dilaporkan satu demi satu belayar meninggalkan Taiwan kerana bimbang risiko terkena bedilan peluru berpandu China.

Hampir separuh daripada kapal-kapal  kontena di dunia belayar  melintasi Selat Taiwan tahun ini yang merupakan laluan penting untuk rangkaian bekalan global.

Pelabuhan Kaohsiung juga merupakan persinggahan penting bagi kapal yang mengambil barangan semikonduktor dan petrokimia iaitu  bahan asas untuk membuat pelbagai produk.

Berdasarkan situasi semasa, banyak kapal kargo memilih untuk berlabuh di perairan terbuka dan bukannya di pelabuhan biasa di pulau berkenaan kerana faktor keselamatan walaupun berlabuh di tengah laut menelan kos tinggi akibat pembakaran bahan api berterusan.

Timbalan ketua firma insurans Drewry Maritime Advisors, Jayendu Krishna berkata,  kebanyakan pemilik kapal berpendapat tindakan tersebut berbaloi untuk mengelak  sebarang risiko buat masa ini.

“Kapal-kapal akan mengelak daripada pergi ke Kaohsiung dalam masa dua hingga tiga hari akan datang kerana enggan terperangkap dalam konflik antara  China dan Taiwan.

“Sebilangan kapal pukal kering dan kapal tangki berlabuh di tengah laut sementara menunggu pesanan,” kata Jayendu.

Bagaimanapun, Naib Presiden Pelabuhan Kaohsiung, Su Jiann-rong berkata, pelabuhan itu beroperasi sepenuhnya tanpa kesesakan  dan tidak berdepan sebarang impak negatif daripada latihan tentera China.

Kementerian Pengangkutan Taiwan berkata,  jeti di pelabuhan tersedia dan pihaknya tidak mempunyai sebarang kapal yang membatalkan ketibaan atau pelepasan yang dijadualkan.

Dalam pada itu,  syarikat-syarikat penerbangan turut mempunyai kebimbangan sama dan  mengelak melintasi ruang udara Taiwan.

Gangguan yang membimbangkan itu dijangka berterusan di pelabuhan perkapalan selama beberapa hari lagi, namun kesannya boleh dirasai lebih lama di seluruh dunia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI