KUALA SELANGOR – Kegiatan haram tiga lelaki menangkap 50 kilogram (kg) ikan dengan pukat ‘tarik tepi’ tumpas apabila dicekup pihak berkuasa kira-kira 3.2 batu nautika perairan Jeram di sini, semalam.
Kesemua tekong dan kru tempatan berusia 35 hingga 38 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menaiki sebuah bot nelayan, kira-kira pukul 9.30 malam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, perkara itu dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang.
“Anggota APMM yang sedang melakukan rondaan rutin kemudian digerakkan ke lokasi dan pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu dinaiki tiga lelaki yang sedang menangkap ikan dengan pukat tarik tepi.
“APMM turut merampas hasil tangkapan pelbagai jenis ikan seberat 50kg untuk tindakan lanjut. Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi membantu siasatan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Siva Kumar, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan kurang dari jarak yang dibenarkan,” katanya.-KOSMO!ONLINE