KUALA LANGAT – Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) perlu efisyen dari segi program dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada golongan mahasiswa di negara ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali berkata, pergerakan antirasuah diterajui oleh pelajar merupakan komponen penting dan mampu menarik sokongan daripada pertubuhan dalam dan luar negara.
Katanya, ini terbukti seperti Thai Youth Anti-Corruption Network yang ditubuhkan pada 2012 telah mendapat sokongan kuat daripada United Nations Development Programme.
“Bukan satu tugas mudah untuk menyampaikan mesej antirasuah kepada lebih satu juta pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara.
“Justeru, pelaksanaan program pencegahan rasuah harus dilaksanakan dengan strategi berkesan dan efisyen supaya visi AMAR. Ini bagi mewujudkan generasi muda yang membenci rasuah dalam usaha menjadikan Malaysia bebas rasuah akan dapat direalisasikan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Konvensyen AMAR 2022 kali ke-8 di Kem El- Azzhar, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE