GEORGE TOWN – Seorang pesara kerajaan masih tidak dapat melupakan kenangannya ketika berkhidmat sebagai pembantu am di Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri ini apabila dia langsung tidak pernah mengambil cuti sakit selama 34 tahun perkhidmatan.
Kamaldin Mohd. Abdullah, 71, berkata, semua itu dilakukan atas semangat dan pengorbanan sepanjang tiga dekad bertugas di agensi terbabit.
Menurut bekas tok siak di Masjid Jamek Kampung Rawa, Sungai Pinang di sini, dia turut bangga apabila tempoh persaraannya itu jatuh pada bulan Ogos 2007 dan kini genap 15 tahun dia meninggalkan kerjaya tersebut.
“Dari jadi tukang korek jalan, menguruskan bil sehinggalah kepada seorang pemandu van, saya tidak pernah ambil atau memohon sebarang cuti sakit daripada majikan selama 34 tahun berkhidmat sejak berusia 22 tahun.
“Mahu mohon cuti akibat sakit gigi atau kepala, motosikal rosak, demam serta batuk pun tidak pernah termasuklah ketika terlibat kemalangan waktu bekerja.
“Inilah namanya semangat perjuangan yang ditanam dalam diri. Memang kena ada minat untuk bekerja selain niat baik bantu keluarga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Jelasnya lagi, pengalaman berharga yang dilaluinya itu akan sentiasa dikenang setiap kali tibanya bulan Ogos, iaitu bulan di mana negara mencapai kemerdekaan.
Jelasnya lagi, meskipun tiada sebarang majlis meraikan rekod kecemerlangan tersendirinya bagi kategori bukan eksekutif di Pulau Pinang, namun dia tetap bersyukur atas perkhidmatan yang diperoleh selain menjadikan segulung sijil tamat perkhidmatan sebagai kenang-kenangan.
“Orang sekarang (pekerja swasta dan kakitangan kerajaan), lenguh sikit-sikit pun ambil cuti sakit, hujan lebat, pening lalat, motorsikal tayar pancit juga ambil cuti. Tak payah manja-manja sangatlah.
“Orang muda misalnya, kena ada semangat dan minat untuk bekerja. Jangan banyak akal. Ambil cuti sakit akan menyusahkan rakan pejabat lain. Jika hendak maju, kena buang sifat malas dalam diri,” nasihatnya lagi.