KEHADIRAN Erik Ten Hag sebagai pengurus baharu sangat ditagih oleh Manchester United ketika mereka berdepan krisis prestasi dan kemarau trofi sejak lima tahun lalu untuk kembali dianggap sebagai gergasi dan pencabar utama gelaran Liga Perdana Inggeris.
Biarpun masih dihantui isu masa depan bintang utama, Cristiano Ronaldo, United di bawah kendalian Ten Hag masih dilihat fokus dalam usaha membina semula pasukan apabila berjaya mencatat aksi pramusim yang memuaskan menerusi tiga kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.
Setakat ini, United berjaya membawa masuk tiga pemain baharu dalam pasaran perpindahan melibatkan Tyrell Malacia, Lisandro Martinez dan Christian Eriksen, namun ketika jendela perpindahan hanya akan ditutup pada 1 September nanti, mereka dipercayai akan membawa masuk beberapa lagi pemain berprofil tinggi.
Sudah pasti para peminat mereka di seluruh dunia sudah tidak sabar untuk menyaksikan adakah sentuhan Ten Hag kali ini benar-benar mampu untuk membawa United kembali ke fasa kegemilangan selepas lima pengurus selepas era Sir Alex Ferguson gagal berbuat demikian.
Menjelang aksi pertama menentang Brighton malam ini di Old Trafford, The Red Devils tidak mempunyai pilihan kecuali meraih tiga mata pertama untuk mengembalikan keyakinan peminat dan lebih daripada itu adalah motivasi buat para pemain mereka sendiri.
Para pembaca yang berminat menyertai Liga Fantasi Kosmo! 2022/2023 boleh mendaftar dengan melayari pada pautan ini
– https://www.kosmo.com.my/liga-fantasi/