SUNGAI PETANI – Seorang buruh binaan dijatuhi hukuman penjara lima tahun serta enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran dan permit sah pada 30 Julai lalu.
Hakim Roslan Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, K. Krishnakumar, 40, sebaik dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati memiliki sepucuk pistol jenis Revolver .38 Special CTG Colts PT FA Detective Spec warna hitam buatan Amerika Syarikat tanpa lesen dan permit senjata yang sah di tepi bangunan kedai di Taman Ria Jaya kira-kira pukul 4.30 petang, 30 Julai lalu.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 14 tahun dan tidak kurang daripada enam sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, rakan kepada Krishnakumar iaitu T. Santhana Samy, 48, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengetahui terdapat dalam milikan Krishnakumar senjata api tersebut di Taman keladi di sini kira-kira pukul 10.30 malam, hari yang sama.
Santhana Samy membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 9 akta sama itu
dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan. – KOSMO! ONLINE