fbpx

Kerajaan tidak pernah pinggirkan rakyat Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (kanan) ketika hadir ke Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sarawak di sini hari ini.

KUCHING – Kerajaan sentiasa memastikan kebajikan seluruh rakyat negaranya terbela dan segala aduan, rintihan serta keluhan masyarakat akan segera diselesaikan temasuklah di negeri Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 867,967 Keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang telah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) melibatkan peruntukan sebanyak RM745 juta.

“Sementara itu, projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion dilancarkan pada Mac 2015 kini berada pada tahap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

“Kerajaan juga akan meneruskan Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sarawak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan projek Fasa 2 SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas ini, akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326km dengan kos RM7.68 bilion.

“Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan disamping kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB).

“Ini akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif dan limpahan ekonomi kepada Keluarga Malaysia yang berniaga di Pasar Tamu Simpang Bekenu,” ujarnya.

Katanya, pembangunan negeri Sarawak sentiasa diutamakan dan ini terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan sebanyak RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMK-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.

“Bagi sektor kesihatan pula, sebanyak enam projek pembinaan hospital dan klinik dilaksanakan di negeri ini, melibatkan tambahan bangunan, kelengkapan perubatan serta kuarters,” kongsinya.

Dalam pada itu, bagi isu penggunaan internet yang sering mengganggu penduduk Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak komited dalam menyediakan kemudahan jalur lebar (internet) melalui Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) secara menyeluruh menjelang 2030.

“Kerajaan juga sentiasa mendengar rintihan Keluarga Malaysia berkaitan permasalahan bekalan elektrik. Untuk itu, kerajaan telah membina stesen jana kuasa hidroelektrik ketiga di Sarawak, Baleh Hydroelectric Project (HEP) di pedalaman Kapit yang dijangka siap pada tahun 2025,” katanya lagi. – KOSMO! MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI